||||   

 

 

 Guestbook

 Video Production

 

TOP 5 (2007)

Yahoo Search

"Video Kahwin"

 

TOP 5 (2007)

Google Search

"Video Kahwin" &

"Kad Kahwin"

 

Discussion

Area ....

Welcome to

everybody

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Anda adalah pelawat yang ke

Free Web Counters
Free Counter

BELASUNGKAWA

ALLAHYARHAM KAMAL BAHARIN MUSTAFFA
(18 Februari 1971 - 15 Oktober 2008)


Sebetulnya saya terkejut.

Dan kelmarin deringan telefon bimbit dipoket, merungkaikan segala persoalan. Di hujung talian, suara Zulfakar menyampaikan berita perginya seorang lagi sahabat XSAS'88 sungguh menyebakkan. Namun kita perlu optimis yang mati itu pasti.

Semalam, seharian, ingatan saya mengimbau ke Batu 8, Jalan Gambang. Kembali ke SEMSAS dan zaman kita diperbesarkan. Zaman kita diremajakan dan mungkin didewasakan. Kumpulan pelajar yang masuk pada tahun 1984 (class of 88), tentunya tahu dan rapat sekali dengan Allahyarham. Saya percaya saya adalah antara kita yang rapat sekali dengan Allahyarham. Pertamanya kerana kami berbumbungkan satu rumah, rumah Skylab yang selalu corot dalam Acara Sukan Tahunan. Tapi semangat kami tetap kental, takkan mengalah tanpa beraksi dahulu.

Pada hari pertama di SEMSAS, orang pertama yang saya berkenalan, tentunyalah Allahyarham. Kebetulan, katil saya di sebelah kiri katil beliau (dan di sebelah kiri katil saya pula ialah Tuan Yang Arif Jamaluddin Mat). Kami ditempatkan di Dorm AJ bersama-sama 13 atau 14 lagi sahabat-sahabat yang lain. Esprit de corp kami, kita serumah, rumah biru, rumah Skylab. Pada hari itu juga, ketika taklimat pada sebelah petang oleh Pen. Pengetua (Cikgu Shahrudin @ Sharon) di Dewan Makan, saya duduk di sebelah beliau. Memandangkan ketika itu, keluarga saya telahpun berpindah dari Kuantan ke Ipoh, mengenali orang tempatan (baca orang Pahang) sebenarnya cukup melegakan, selain daripada sahabat-sahabat yang sama-sama belajar dengan saya sewaktu di Sultan Abdullah School, Kuantan. Dari titik itu, seperti clichenya, persahabatan Allahyarham dan saya pun bermula.

Polisi sekolah yang menempatkan pelajar-pelajar tingkatan satu yang serumah dalam kelas yang sama, menyebabkan Allahyarham dan saya sekali lagi tidak terpisah. Kelas 1 Sains 3, seingat saya guru kelasnya ialah Cikgu Safiah. Seawal lagi, Allahyarham telah menunjukkan sifat-sifat kepimpinan, maka beliau kami pilih sebagai Ketua kelas 1 Sains 3. Sebagai pelajar SBP, memang kita diasuh untuk cemerlang dalam pelbagai bidang. Allahyarham tidak terkecuali. Selain memiliki ciri kepimpinan yang tinggi, Allahyarham mengembangkan bakat beliau dalam bidang debat; sastera dan seni, baik penulisan cerpen dan puisi, deklamasi sajak; syarahan; seni lakon, kami sama-sama berlakon dalam Pekan Teater TV3, (di situlah karier Azhar Sulaiman bermula); dan juga tidak ketinggalan dalam bidang sukan.

Penglibatan ini bukan sekadar penyertaan, malah meraih kejayaan cemerlang. Antaranya yang saya ingat dan boleh dikongsi (kerana ada juga yang saya terlibat sama dalam satu pasukan) ialah Juara Debat Bahasa Malaysia, baik di peringkat daerah mahupun negeri, Juara Syarahan Perdana Negeri Pahang, Naib Johan Pekan Teater TV3 peringkat Daerah, Juara Deklamasi Sajak sempena Kemerdekaan peringkat Negeri dan banyak lagi. Yang menariknya, kejayaan ini dicapai hampir saban tahun, dan tentunya nama Kamal Baharin Mustaffa sentiasa berkumandang di Dewan Utama SEMSAS, tanda penghargaan pihak sekolah kepada beliau.


Meskipun apabila naik ke tingkatan dua, kami terpisah, kerana saya pindah ke 2 Sains 1 (Teratai) dan Allahyarham kekal di 2 Sains 3 (Melati) hubungan kami terus akrab kerana kami banyak terlibat dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan ekstra-kurikulum bersama-sama. Selain penglibatan dalam pasukan debat, antara yang saya masih ingat ialah camping di Beserah di bawah Pasukan Bulan Sabit Merah dan AJK Stor Sukan. Kami turut sama menjadi AJK dalam Projek Bacaan Sekolah (ingat lagi bilik kami di bawah tangga dekat kantin). Kami saban tahun mewakili sekolah ke Pesta Piala Perdana Menteri (PPM; saya dalam pasukan bola keranjang dan beliau dalam pasukan debat). Tentunya banyak sekali lawatan-lawatan (rasmi dan tidak rasmi yang saya bersama beliau). Kenangan terindah ialah ketika di tingkatan satu, saya pernah "balik bermalam" ke rumah beliau di "Kelat Rendang". Kalau tak silap, Mat Yie pun ikut sekali. Memang seronok ketika itu. Merasai suasana kampung dan yang saya takkan lupa, ibu Allahyarham seorang yang sporting dan masakannya sedap (Allahyarham anak yatim sebelum ke SEMSAS lagi). Dan tentunya "balik bermalam" itu, bukan yang pertama dan terakhir.

Selain hal duniawi, Allahyarham juga seorang yang menitik-beratkan hal-hal akhirat. Akhlaknya tinggi dan berbudi pekerti mulia. Semenjak di sekolah, beliau selalu dirujuk sebagai "imam" kami, budak-budak Skylab. Kalau hal-hal berkaitan Feqh, beliaulah tempat kami bertanya. Beliau juga menyertai Musabaqah, nyanyian nasyid, menjadi naqib dan pelbagai aktiviti yang ketika itu dilihat sebagai "islamik". Personaliti beliau sebagai muslim cemerlang terserlah, antaranya yang saya boleh berkongsi di sini, beliaulah yang menasihati saya (yang saya ambil pakai), untuk menutup aurat ketika bersukan.

Sebagai individu, Allahyarham memiliki personaliti yang ceria dan suka menggembirakan orang lain. Kalau Di dorm AJ, AK dan AL dulu, beliaulah yang akan menjadi Raja Lawak kami. Beliau jugalah 'radio' kami. Siapa yang akan lupa, dendangan beliau menyanyikan lagu-lagu Ramli Sarip. Antara bait-bait yang saya masih ingat, " Kau Yang Maha Esa, Kau Yang Maha Agung, Kau Yang Maha Penyayang....Siapa Aku Tanpa Mu...," sungguh menusuk kalbu. Beliau yang terserlah dengan sifat-sifat kepimpinan, sering memainkan peranan sebagai pembimbing rakan sebaya. Banyak juga masalah-masalah peribadi saya yang beliau dengar dan beri pandangan untuk selesaikan. Justeru itu beliau sentiasa disenangi, senior dan junior, kakak-kakak dan abang-abang juga adik-adik. Ini terbukti apabila setiap kali ada acara di SEMSAS, seperti ucapan Hari Raya, "Apple's Day" dan sebagainya, Allahyarham tentunya orang yang paling banyak sekali mendapat dedikasi dan pemberian. Kalau disenaraikan, memang banyak sekali kakak-kakak dan adik-adik angkat beliau. Pendeknya, beliau disenangi semua. Begitu juga di kalangan guru-guru. Setahu saya beliau rapat sekali dengan Cikgu Kamiliah (Cikgu Maths) dan Cikgu Puteri Fatimah (Cikgu Debat). Tanyalah sesiapapun guru-guru di SEMSAS, beliau sentiasa disenangi oleh semua orang. Tetapi suatu perkara yang hingga kini saya tidak pasti ialah kenapa beliau tidak dilantik menjadi Pengawas sekolah. Sampai sekarang saya rasa beliau menolak lantikan itu (kerana persepsi umum yang negatif terhadap imej pengawas). Selain menjadi Ketua Rumah Skylab pada tingkatan 5, beliau sering dilihat dan diangkat sebagai Ketua Pelajar (tidak rasmi) oleh pelajar-pelajar yang lain. Tentulah tugasnya macam Yang Berhormat, kalau ada masalah antara pelajar dan pengawas, hatta sekalipun warden dan guru-guru, beliaulah yang akan menjadi juru-rundingnya.

Masa pun berputar dan terus berputar. Tahun 1988 tiba, dan menjelang Disember, selepas peperiksaan SPM, kami pun berpisah. Masing-masing dengan haluan sendiri. Saya ke Matrikulasi dan kemudiannya USM, P.Pinang dan beliau ke ITM (kini UiTM), Shah Alam. Semasa saya di tahun 1 dan 2, beliau sering juga ke bilik saya di kampus USM. Ketika itu, ujar Allahyarham kepada saya, beliau sedang hangat bercinta dengan Juara Deklamasi Sajak Kemerdekaan di peringkat Kebangsaan. Orang Bukit Mertajam katanya. Oleh kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri, kami berkomunikasi sekali-sekala. Selepas tamat belajar di USM, saya mula bekerja. Ketika saya bekerja di Kuala Lumpur, 4 atau 5 kali juga kami bertemu dan ada antaranya beliau bermalam di rumah sewa saya. Ketika itu ekonomi mula menggawat (sekitar 1998), dan saya dengar khabarnya periuk nasi beliau teruk terjejas. Seingat saya, kali terakhir saya berjabat salam dengan Allahyarham ialah sekitar penghujung tahun 1998. Apabila saya ke Negara Matahari Terbit pada awal tahun 1999, komunikasi itu terputus, tapi ingatan terhadap beliau tetap ada dan segar, hinggalah saya pulang ke Malaysia pada tahun 2005. Pada pertengahan tahun 2007, saya membaca cerita beliau di Mingguan Malaysia. Cerita tentang bagaimana beliau menderitai barah otak, bagaimana beliau mengharungi pembedahan dan bagaimana semangatnya membara untuk terus hidup. Semenjak itu, acap-kali terdetik di hati untuk menziarahi beliau, hatta minggu lepaspun saya ada mencadangkan untuk kita menziarahi beliau ketika re-union XSAS'88 di Kuantan pada bulan Disember nanti.

Manusia hanya merancang dan ternyata Tuhan lebih menyayangi beliau. Kamal, pergilah kau dengan aman, dengan tenteram, dan kami iringimu dengan doa-doa dan ingatan yang baik-baik kepadamu. Pergilah, seorang sahabat yang namanya akan sentiasa terpahat di hati kami. Kami redha segalanya dan kami maafkan segala kekurangan sepanjang persahabatan ini. Terima kasih juga kerana kau sudi menjadi sebahagian daripada memori-memori indah dalam perjalanan hidup kami ini.

Sebetulnya juga saya menangis ketika menaip belasungkawa ini. Saya menangis kerana saya masih terkejut. Dan sedihya, hajat saya untuk menziarahi Allahyarham ketika beliau masih hidup tidak kesampaian. Wallahualam. Al-Fatihah.

F A R I S D I I P O H
(XSAS 1984 ~ 1988)
17 Oktober 2008
13:15pm